Friday 23 December 2011

Bersyukur @ berterima kasih

Alhamdulillah

tahniah diucapkan kepada seluruh pelajar tingkatan 3 PMR 2011 kerana kejayaan yang dikecapi.

ucapan tahniah daripada ibubapa, sanak saudara, guru-guru dan teman seperjuangan yang lain memenuhi inbox dan wall di FB. semoga ia tidak melalaikan diri bahawa kejayaan itu adalah anugerah Allah. Tanpa izin Allah maka kita tak mungkin akan kecapi.


ucapan terima kasih dan penghargaan yang diterima oleh guru-guru daripada anak didik cukup membahagiakan hati. Namun jika tiada yang mengucapkan, biarkan sahaja, kecil hati biarla sementara jua. Kita berbuat baik bukan kerana kita yang mengawalnya tapi dengan izinNya jua kebaikan itu dapat kita laksanakan

ucaplah syukur bukan hanya ketika menerima nikmat tetapi jua musibah, itu tazkirah dan peringatan yang sering kita dengar.
Namun satu perkara yang kita lupa, kita patut mengucapkan syukur kepada Allah kerana diizinkanNya untuk berbuat baik. Tidak mungkin bahkan mustahil andai tanpa izinNya.

ingatlah , manusia berbakti pada kita, kita harus berusaha berterima kasih dengan baktinya tapi jangan dilupakan syukur pada Allah kerana Allah lah yang izinkan manusia tadi berbakti pada kita dan Allah lah yang izinkan kemudahan @ bakti itu berlaku pada kita.

Saturday 26 November 2011

Patutla bercouple itu haram


Alhamdulillah, betapa Allah mengetahui setiap satu larangan dan tegahan itu ada hikmahnya

cinta tak mungkin dipisah dengan manusia
dan cinta sering buat kita bahagia
namun cinta yang terbina sebelum ikatan yang sah dan halal
hanya membawa kepada neraka
patutla Allah melarang bercinta sebelum berkahwin
kerana baru kini ku faham
cinta buatkan si dia terbayang dalam ingatan

Alhamdulillah, dia ku bayang dalam halal
bukannya haram
nak bertanya khabar dan mengusik rindu semua kini halal belaka

patutlah anak didik tegar mendengar larangan dan nasihat tentang cinta
kerana baru kini ku faham cinta itu sukar dilepaskan

Alhamdulillah wahai serikandi hidupku,
Moga kita bahagia dalam redhaNya
Membina Baiti Jannati
membina Baitul Muslim
agar melahirkan pendokong Islam yang sejati

bagaimana harus ku berikan kefahaman
padamu duhai permata yang kemilau
masamu akan tiba tanpa perlu mencari

fahamilah dan mengertilah
cinta selepas akad adalah ibadat
sedangkan sebelumnya sekadar meluaskan senyuman Sang Iblis
moga kau menjadi yang terhebat
pemuda yang mampu mengekang hitamnya hati

Wednesday 16 March 2011

Mencari idola

Dalam menjalani kehidupan hidup bertuhan satu perkara yang cukup sukar untuk di"mantain" adalah persoalan iman dan taqwa. Oleh kerana itu, salah satu cara untuk kita menjaga iman dan taqwa kita adalah menutup sebarang ruang dan peluang untuk diri kita terdedah kepada perkara yang tidak baik.

Melingkungi diri bersama teman-teman yang mengajak kepada masjid dan surau, yang menjaga aurat dan percakapan, yang menjaga diri dan orang sekeliling. Itulah satu cara untuk menutup ruang dan peluang melakukan dosa. Teman yang baik walaupun kadang-kala tidak mampu untuk membuatkan kita teguh beribadat pada Allah paling tidak hindarkan kita dari berbuat maksiat. Dikelilingi dengan pelaku maksiat, paling tidak saham teman kita lakukan maksiat tercatat.

Usaha kita berteman dan rapat dengan orang yang baik untuk mengelak melakukan maksiat adalah satu ibadah.

Disamping itu, kita perlu mencari qudwah hasanah dalam hidup kita dan Rasullah, para sahabat, ulama adalah ikutan yang baik. Gaya hidup mereka walaupun kita tidak mampu ikuti keseluruhannya boleh dijadikan contoh.

Mencintai Rasullah walaupun kita tidak pernah melihat baginda adalah cinta abadi. Allah kasih dan sayang pada kita kerana kita masih bernafas, masih hidup sebagai Islam walaupun bukan mukmin. Namun adalah kita rasa kita mampu bertahan dengan iman yang tidak di"upgrade" sentiasa. Biarlah hari ini kita hidup sebagai muslim dan esok jika mampu hiduplah sebagai mukmin.

Tuesday 15 March 2011

Tsunami Jepun

sedikit paparan kehebatan kuasa Allah

Sains menjelaskan tetapi Allah yang menyebabkan. Firman Allah :

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?.Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?.Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
(surah aL-Mulk:15-18)

Tiada yang mustahil, bencana yang berlaku di Jepun melarat ke Malaysia. Mungkin bukan gempa dalam masa terdekat tetapi ingatlah tentera Allah seluruh alam. Sedikit gambaran tentang kekuasaan Allah. klik di sini>>> http://www.abc.net.au/news/events/japan-quake-2011/beforeafter.htm

Monday 14 March 2011

Picnic Matematik PMR 2011

Alhamdulillah
Program Kem Matematik 2011 : Picnic Matematik@ Pantai Sepat berjaya dilaksanakan walaupun segala persiapan agak mendesak dek kerana kekangan masa guru-guru jabatan matemmatik MRSM Tun Abdul Razak.

Program yang berlangsung 4 dan 5 Mac 2011, pembuka kepada minggu aktiviti SEM 1 cukup menduga kesabaran. Sekian lama tidak terlibat dengan program sebegini benar-benar mengerakkan "neuron-neuron" dalam kepala.

Daripada kertas kerja yang dirangka untuk kelulusan sehingga pelaksanaan program. Bukan mudah menyakinkan "bos" kemampuan meng"handle" 223 pelajar tingkatan 3. Daripada aspek logistik sehingga keselamatan semuanya dipastikan berada dalam keadaan terbaik. Segala kemungkinan soalan telah tersedia dengan jawapan yang sebaik mungkin.

Pengalaman menjadi Ketua Pengarah program dan ketua fasilitator untuk program-program di Universiti cukup berguna. Bahkan ianya lebih manis kerana susah senang daripada idea asas, perbincangan dengan pihak luar serta modul yang dilakukan semua atas diri kami bersama. Teringat adik Bukhari, pelajar tingkatan 4 Kolej Islam Sains Terengganu di Kuala Berang. Tatapan mesra seorang adik dan amanat yang ditinggalkan moga tinggalkan kesan.

Allah jika dulu ia dilakukan kerana tuntutan dakwah, adakah kini kerana jawatan?.
Allah lorongkanlah keihklasan moga ia bukan hanya kerana tuntutan kerjaya tetapi tuntutan dakwah.

Menghukum @ menasihat

Muqaddimah
Sekian lama mencari ayat yang sesuai untuk menulis setelah sekian lama tanpa sebarang post.
Moga Allah tambahkan nikmat ilham.

Buat pertama kali pada tahun ini, rasa putus harapan cukup menguasai diri. Harapan yang diletakkan tinggi jatuh terhempas ke muka sendiri. Mengaibkan diri, memalukan diri, memutuskan ikatan hati yang telah terjalin.

teringat satu nasihat ustaz.
Ibubapa janganlah buat sesuatu yang menyebabkan kita sendiri akan berkecil hati terhadap anak-anak kita. Kita mengharap pada yang tidak mampu memikul harapan. Kita meminta pada yang kita ketahui tak mampu memberi. Maka cukuplah, hentikan harapan itu, kerana apabila kita sakit dihati maka bahananya pada anak kita jua. Itulah nasihat yang cukup berguna.

Bukan nasihat ini menyebelahkan anak yang "berguna" namun kadang-kala perasaan tidak endahkan anak perlu supaya hati tidak semakin sakit. Berjauhan lebih baik.

Nasihat dalam tindakan
Dalam tindak-tanduk sehari-hari, kita perlu berhati-hati kerana kita adalah orang yang diperhati, menjadi ikutan. Itulah bebanan utama yang ingin bergelar dai'e. Membawa diri setiap hari agar tidak mengundang fitnah pada agama Ilahi.

Rasullah cukup berlemah lembut dalam dakwahnya tetapi ada yang salha anggap dakwah yang berhikmah adalah dengan menuturkan yang baik sahaja. Sebagai buktinya, Baginda seorang yang tegas. Bagaimana satu suku kaum Yahudi yang bekerjasama dengan tentera Ahzab dikepung seusai tamat perang kerana bala tentera Ahzab mengundur diri. Baginda meminta sahabat segera mengepung suku yahudi tersebut walaupun para sahabat ketika itu belumpun solat. Mengarahkan seorang sahabat menjadi hakim dan menghukum suku yahudi tersebut.

Nasihat perlu pada tempatnya. Jika perlu kasar untuk nasihat diterima maka kasarlah. Jika tidak pasti lebih baik dengan lemah lembut dan itulah berhikmah. Namun, kita manusia tidak lari daripada kesilapan. Jangan dihukum Islam jika pendakwahnya tersilap. Jangan hanya dikritik orang itu dan ini tidak layak tetapi bangkitlah bangun berdakwah. Tunjukkan cara yang betul. Moga Allah mudahkan urusan kita bersama demi mencapai redhanya.

Saturday 19 February 2011

Pertandingan Nasyid dan Olimpiad Maulidur Rasul

Akhirnya berjaya juga update blog ini setelah sekian lama tertangguh dek kerana bil yang tertunggak. Banyak yang ingin dikongsi tetapi cukuplah sekadar mengumumkan kejayaan BADAR sesi kali ini menganjurkan beberapa acara yang baik pertama Pertandingan Nasyid inter kelas dan kedua Kuiz Olimpiad Maulidur Rasul.

Kedua-duanya mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun dianjurkan dalam masa yang suntuk. InsyAllah dalam post akan datang akan dimasukkan gambar-gambar sempena program-program tersebut dan perinciannya sekali.

Semoga Allah permudahkan urusan kita yang baik dan memberikan keresahan, kesusahan sekiranya urusan kita itu menjurus kepada perkara mungkar.

Friday 7 January 2011

BADAR makin dewasa ?

Hampir 2 tahun badan dakwah, akhlak dan rohani MRSM TAR
usia yang bertambah diharapkan mematangkan seluruh saff utama penggerak.
permata BADAR sesi lepas yang merintis jalan pemula diharapkan akan terus dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan Islam untuk semua.

Islam adalah cukup sempurna untuk dikongsi dengan sekalian alam
Islam adalah addinulHaq
Islam wajar mendapat tempatnya
dan tempat Islam bukanlah sebagai altenatif tetapi sebagai pilihan utama
Islam bukan untuk diceduk sekerat dan dibuang sekerat lagi.

1433 Hijrah moga ia membawa BADAR agar lebih bertenaga mengharungi usia mentah.


Monday 3 January 2011

Cuti-pelajar-cuti-guru

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Akhir 2010 cukup menarik.bermula dengan cuti yang disambut dengan laungan takbir Aidil Adha. seminggu yang menghitung hari untuk menjadi pelajar di UIAM dibawah program Post Graduate Diploma of Education.

Menjadi pelajar cukup berbeza sebagaimana yang penulis telah nyatakan dalam posting sebelum ini. Dalam kalam ini pengalaman yang berbeza ingin dikongsi, "marah". Nafsu marah memang tidak elok sama sekali, namun marah perlu pada masanya. Kita perlu ada perasaan marah apabila dikhianati, rasa marah apabila ditipu, rasa marah apabila dipersenda, rasa marah apabila kita difitnah kerana kita bukan malaikat yang tidak bernafsu. Namun marah biarlah kerana Allah, bukan kerana perasaan kita semata. Apabila marah kerana Allah ia adalah ibadah, asalkan marah kita kena pada tempatnya.

Ambil yang jernih buang yang keruh
Peribahasa yang sering digunakan oleh orang "tua-tua" untuk mengamankan dua pihak yang bertelagah. Lupakan perkara semalam, teruskan hidup baru sama sekali tidak relevan. Perkara semalam adalah sejarah dan kita perlu mengambil iktibar, tidak terlalu memikirkannya dan tidak menghukum individu tersebut atas kesilapan yang lepas perkara berbeza. Dalam memilih pemimpin kita juga perlu melihat apakah sumbangan mereka pada masa lepas. Jika sudah jelas calon pilihan kita semakin "baik" maka mungkin kesilapannya yang lepas tidak perlu kita ungkitkan. Tetapi jika beliau masih bergelumang dalam lumpur yang sama walaupun nampak sedikit "baik" maka fikirkanlah sebaiknya.Dalam memilih kawan juga kita mesti tahu perangai rakan kita iaitu perkara yang lepas supaya kita bersedia di masa hadapan.

Malaysia vs Indonesia
Malam sebelum perlawanan, penulis telah ke "pasar tengahmalam" di Cheras. Perbezaan yang cukup ketara. Percutian sebelum memulakan tugas sebagai guru cukup membingungkan. Melihat anak muda yang bukan belia tetapi remaja memakai subang, berseluar pendek dan bermacam lagi bagi yang lelaki dan memakai pakaian sehabis kecil dan merangkul "abang" bagi perempuan. Zaman remaja penulis yang dialami kurang 10 tahun yang lalu cukup berbeza. Bukan lagi antara langit dengan bumi tetapi jauh daripada itu.

Siapa yang bersalah?, jika soalan ini diterbitkan maka ramai akan menjawab "tiada gunanya menyalahkan sesiapa yang penting mencari solusinya". berbondong-bondong tokoh-tokoh akademik, pakar motivasi, NGO dan lain-lain yang memberikan cadangan solusinya namun hasilnya menyonsang. Wabak makin parah. Maka teori bahawa mencari punca tiada gunanya patut dikikis, sebagaimana doktor memberikan ubat yang perlu tahu punca penyakitnya.

Bersama kita fikirkan contoh ini. Si "bapa" yang menyediakan bilik untuk si "anak" dalam masa yang sama telah juga menyediakan "keperluan" untuk anaknya. Jika si "bapa" hanya menyediakan buku-buku berfaedah, permainan yang berguna, makanan yang berzat dan mimuman yang berkhasiat maka itulah yang akan di baca, di main, di makan dan di minum oleh "anak"nya. Tetapi jika "bapa" menambah dengan meletakkan buku Ujang, daun terup, ayam berlemak dan air bikarbonat dalam menu "anak"nya,, maka mana mungkin "anak"nya tidak mencuba. Kebarangkalian itu pasti ada untuk salah seorang "anak"nya mencuba.

Maka "bapa"lah yang perlu dipersalahkan kerana menambah yang bukan pada tempatnya. Jika dinasihat masih degil maka adakah cukup dengan seribu baris nasihat lagi sama ada kepada si "anak". Maka perlu dibuang daripada menu buku Ujang, daun terup, ayam berlemak dan air bikarbonat itu oleh si "bapa". Jika "bapa" masih enggan maka perlulah diganti si "bapa" itu dengan "ibu"nya atau kahwin sahaja oleh si ibu dengan "bapa baru". Natihanya tidak pasti tetapi pasti "bapa baru" akan cuba menurut kehendak pengantin barunya. Maka fahaminya dengan sebaik-baiknyanya dan terpulanglah.Demi masa depan anak bangsa yang penting seagama.

Kesempatan yang ada digunakan untuk menonton perlawanan akhir AFF Piala Suzuki. Keputusannya kita sedia maklum, kejayaan anak bangsa patut kita banggakan tapi pencapaian saudara seagama kita perlu fikirkan. Ya, CINTAKAN NEGARA tuntutan agama tetapi CINTAKAN AGAMA LEBIH UTAMA. Kesanggupan berpuluh ribu penonton untuk datang awal seawal jam 5 memenuhi stadium bagi mencari "seat" terbaik tiada salahnya. Alhamdulillah, masih ada yang cintakan Allah disamping cintakan negara bersolat asar dan maghrib pada waktunya, namun selebihnya.

Kita punya kuasa, kita berhak mengatur masa perlawanan, membina lebih banyak tempat wudu', memudahkan HAMBA ALLAH dalam urusan solat sebagaimana kita memudahkan WARGANEGARA MALAYSIA untuk membeli tiket dan masuk ke stadium, tidak seperti Indonesia yang masih perlu beratur panjang membeli tiket gara-gara "lapuknya" kaedah penjualan tiket.

Cuti yang berbaki ini punya hikmahnya. Kejelikan kadang-kala perlu untuk menambahkan kesedaran tetapi jika yang jelik masih dipandang normal. Maka teruskanlah menganggap yang abnormal itu normal.